;

20 -23 Julai 2009






untuk maklumat lanjut ada dalam http://skserikenangajb.blogspot.com





GAMBAR SEMPENA HARI GURU 2009


IMAM PEMIMPIN SOLAT DAN MASYARAKAT

HADIS Rasulullah SAW di atas menunjukkan betapa umat Islam disuruh menunaikan rukun Islam kedua ini secara berjemaah. Lagipun solat berjemaah bukan memerlukan bilangan yang ramai memadai sekurang-kurangnya dua orang, seorang imam dan seorang lagi makmum.
Berjemaah pada solat Jumaat adalah wajib atau fardu ain manakala bagi solat fardu yang lain ada yang mengatakan hukumnya sunat muakkad, fardu kifayah dan juga fardu ain. Namun, sebahagian besar ulama mengatakan hukum solat berjemaah adalah fardu kifayah.
Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, "Bila sahaja ada tiga orang di dalam satu kampung atau dusun tidak mendirikan solat berjemaah, mereka akan digoda oleh syaitan. Lantaran itu hendaklah kamu berjemaah, sesungguhnya serigala selalu memakan kambing liar yang terasing (yang jauh daripada kumpulannya)". (riwayat Abu Daud)
Antara individu yang berperanan penting dalam solat jemaah ialah imam. Mereka bukan sahaja mengetuai solat fardu berjemaah, tetapi juga paling dekat dengan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila berlaku kematian, akikah, kenduri kendara, nikah kahwin dan mengetuai solat berjemaah.
Secara amnya, semua kita adalah imam iaitu pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang maksudnya: Kamu sekelian adalah pengembala (pemimpin) dan akan diminta dipertanggungjawabkan tentang kepimpinannya. Seorang penguasa adalah pemimpin, seorang suami adalah pemimpin ke atas anggota keluarganya. Kamu sekelian adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya. (riwayat Bukhari)
Mengikut sejarah, profesion imam telah bermula sejak zaman Nabi SAW. Baginda adalah Ketua Negara, imam solat dan juga Ketua Angkatan Perang kaum muslimin.
Pada zaman kesultanan Melayu pula, beberapa sultan seperti Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Sultan Zainal Abidin (Terengganu) dan Sultan Alaiddin (Selangor) dikatakan pernah menjadi imam solat berjemaah.
Imam juga menjadi tempat rujukan penduduk setempat apabila berhadapan sesuatu masalah atau mendapatkan nasihat berhubung sesuatu. Justeru, para imam perlu sentiasa mempamerkan sahsiah mulia serta melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi.
Ini sesuai dengan fungsi imam yang lebih luas sebagai orang bertanggungjawab mengenai bidang agama dan sosial setempat bagi melaksanakan tugas menyebar luaskan semangat keagamaan serta memenuhi khidmat kemanusiaan kepada sesiapa yang memerlukan sekadar yang termampu.
Menyedari hal ini, Pusat Latihan Pengurusan Masjid, Institut Latihan Dakwah Selangor (ILDAS) dan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menganjurkan Kursus Imam Surau Daerah Kuala Selangor pada 6 hingga 8 Julai lalu.
Kursus tiga hari yang dihadiri oleh 90 imam itu berlangsung di ILDAS, Sabak Bernam, Selangor.
Ketua Pegawai Penyelaras Masjid Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Ramli Sidom berkata, para imam perlu mempunyai sahsiah yang baik kerana mereka menjadi contoh kepada anak-anak kariah.
Kata beliau, para imam bukan sahaja perlu mempunyai akhlak mulia dalam percakapan, pemikiran dan perbuatan tetapi juga perlu sentiasa menjaga syariat serta menghindar daripada melakukan maksiat serta terlibat dengan perkara syubhat.
Selain itu, imam perlu mempunyai hubungan kemasyarakatan yang mesra dengan anak-anak kariah supaya dapat mengetahui masalah mereka dan anak kariah pula tidak segan untuk mengadu hal kepada imam.
"Pendek kata, imam yang ideal sentiasa kreatif menghidupkan roh Islam di masjid, surau dan di kalangan jemaahnya.
"Oleh itu, kedudukan imam sebagai pengurus dalam sektor masjid atau surau dengan jawatankuasa pengurusan mempunyai ikatan koordinasi yang saling bekerjasama dalam mentadbir kegiatan masjid sehingga berjaya," katanya.
Ramli berkata demikian semasa menyampaikan kertas kerja bertajuk, 'Sahsiah Imam yang Berwibawa'.
Pada program itu, turut diadakan Tahsin Qiraat untuk memperbaiki mutu bacaan al-Quran para imam.
Para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 45 orang satu kumpulan. Mereka diuji membaca fatihah, ayat lazim dan juga tahiyat akhir. Program ini dibimbing oleh dua guru iaitu Napiah Sahrani dan Abu Yani Omar.
Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Zainal Abidin Sulaiman pula menekankan pentingnya para imam menguasai dan memahami syarat sah, rukun, sunat dan pantang larang dalam solat.
Katanya, selain mengetahui rukun, syarat sah dan perkara yang membatalkan solat, para imam juga perlu menguasai ilmu tajwid agar bacaan fatihah dan tahiyat akhir itu dibaca dengan betul dan tepat.
"Para imam juga perlu segera muhasabah diri apabila ditegur dengan perkataan subhanallah oleh makmum dalam solat. Sudah tentu ada perkara yang tidak kena.
"Jangan pula apabila ditegur sedemikian, para imam teruskan juga solat tanpa membetulkan kesilapan sama ada tertinggal ayat, terlebih atau terkurang bilangan rakaat dan sebagainya," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja 'Fiqh Solat' pada kursus tersebut. Pada sesi yang sama, para peserta mengambil peluang melontarkan pelbagai soalan berkaitan ibadat solat.
Antaranya termasuk bagaimana imam memberitahu makmum apabila solatnya batal semasa dalam kedudukan sujud, hukum sujud sahwi apabila tertinggal doa qunut, keharusan mempercepatkan solat apabila mendengar suara anak kecil menangis di masjid dan sebagainya.
Menurut Zainal lagi, para imam harus melihat keadaan kesesuaian jemaahnya sebelum memutuskan sama ada membaca surah yang panjang atau sebaliknya semasa solat. Sebab itu antara syarat menjadi imam mestilah disukai oleh makmum.
Pendek kata, para imam perlu meraikan para jemaah iaitu jika majoriti jemaah itu golongan bekerja maka elakkan membaca surah yang terlalu panjang semasa solat subuh pada hari bekerja.
Demikian juga jika ramai jemaah golongan tua, maka imam hendaklah memilih surah yang sederhana panjangnya supaya tidak memuradatkan jemaah yang berkenaan.
Kata Zainal, apabila hak-hal sebegini diraikan, insya-Allah masjid atau surau akan lebih makmur dengan lebih ramai jemaah datang menunaikan solat berjemaah.
Tambah beliau, solat berjemaah juga melatih diri berdisiplin dan patuh kepada ketua dan melahirkan simbol perpaduan dan kerjasama di anatara sesama Muslim.
Malah, Rasulullah SAW ada bersabda yang maksudnya: Kalaulah mereka tahu tentang kelebihan pahala solat Isyak dan Subuh berjemaah, mereka akan datang sekalipun merangkak (bagi orang yang tidak boleh berjalan). (Muttafaq alaih)